Tinta Presiden

Salam Silaturrahim

Perkembangan psikologi di barat mula mengalih pandangan kepada pendekatan kaunseling  yang mula mendasari elemen keagamaan dan spiritual. Beberapa organisasi profesional termasuklah American Psycological Association dan American Counseling Association turut mengakui elemen agama perlu dihormati.

Kaunseling Islam telah berkembang dan diterima sebagai salah satu pendekatan dalam perkhidmatan kaunseling di Malaysia. Satu lagi perkembangan positif dalam dunia kaunseling Islam ialah dengan pelancaran Kaunseling Syarie oleh JAKIM pada tahun 2012 dimana ia dilihat mempunyai peranannya yang penting dalam menangani pelbagai isu dalam masyarakat. Perkembangan ini merupakan nilai tambah yang bermakna dalam amalan kaunseling sedia ada.

Walau bagaimanapun, terdapat isu-isu yang masih menjadi batasan dan cabaran yang kita perlu tangani.

a. Kekurangan Pakar Rujuk dan Pengamal

Kaunseling Islam masih dalam era perkembangan dan masih dalam usia yang muda. Satu cabaran yang ketara adalah kekurangan pakar dan pengamal yang benar menguasai ilmu kaunseling syarie dan kemahiran dalam proses membantu.

b. Kekurangan Penyelidikan, Penulisan dan Kajian

Kajian dan penyelidikan dalam ruang lingkup perlaksanaan kaunseling berperspektif Islam belum banyak dilakukan di dalam negara. Usaha untuk memantapkan satu perspektif baru terhadap pendekatan psikologi dan kaunseling berlandaskan Islam merupakan satu keperluan dan perlu ditingkatkan.

C. Pengiktirafan Sebagai Amalan Di Institusi Kerajaan Dan Swasta

Ini memberikan cabaran kepada kaunselor Muslim agar ianya dilihat benar-benar penting, praktikal  dan memberi impak yang bermakna dalam membantu permasalahan psikososial dan keharmonian kepada masyarakat. Pakar dan pengamal kaunseling Islam perlu mengetengahkan kurikulum dan kajian empirikal sebagai bukti ianya boleh dilaksanakan dalam pengajian secara formal di institusi pengajian tinggi. Secara langsung akan menimbulkan keyakinan kepada kerajaan dan masyarakat untuk menerima kaunseling Islam sebagai salah satu pendekatan yang tidak boleh dikesampingkan.

Berhubung dengan perkara di atas, diharapkan melalui PAKSI dapat menghimpunkan kumpulan pakar dan pengamal, mengumpulkan data dan kajian empirikal, menyemarakkan penulisan dalam bidang kaunseling Islam di samping turun ke gelanggang membantu komuniti yang memerlukan bagi membina ummah yang sejahtera.

Sekian,  wassalam.

PERSONALITI RABBANI UMMAH SEJAHTERA

HJ MD NOOR BIN HJ SAPER (PhD)